Refleksi Minggu ke 14

Pertemuan & Perpisahan

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh kepada saudara saudari yang saya kasihi sekalian. Syukur Alhamdulillah dan setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat ilahi kerana dengan izin kurnianya dapat kami menyempurnakan kursus GGGA 2123 Inovasi dan Teknologi Pengajaran dan Pembelajarandengan jayanya. Walaupun pembelajaran pada kali ini sedikit berbeza jika dibandingkan dengan sebelumnya, Alhamdulillah kursus ini dapat juga dihabiskan tanpa sebarang masalah. Sebelum saya pergi lebih jauh, pertama sekali saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih yang tak terhingga buat pensyarah yang saya sayangi dan hormati Prof Madya Dr. Rosseni Din di atas budi bicara beliau dalam memberi tunjuk ajar sepanjang kursus GGGA 2123 Inovasi dan Teknologi Pengajaran dan Pembelajaran dijalankan. Saya amat bersyukur dikurniakan pensyarah yang memahami isi hati pelajar dan beliau sudah saya anggap seperti ibu saya sepanjang pembelajaran kursus ini dijalankan. Sesungguhnya, kata-kata yang ditulis ini tidak cukup untuk menggambarkan isi hati saya yang bersyukur dan gembiranya belajar bersama beliau. Semoga Allah merahmati beliau.

Selain itu, saya turut berterima kasih kepada rakan seperjuangan saya yakni ahli kumpulan saya, Amir Adi dan Nur Syafinas yang telah banyak menghulurkan bantuan dan memberi sepenuh kerjasama dalam setiap tugasan kumpulan yang telah kami jalankan. Tanpa kehadiran mereka, segala tugasan yang diselesaikan takkan mampu diselesaikan dengan baik. Segala usaha keras yang diberikan oleh mereka amat saya hargai. Pelbagai halangan dan rintangan yang kami tempuhi bersama akan saya ingati sehinggakan terpaksa berkorban waktu tidur, waktu makan dan sebagainya. Saya amat berbangga dan bersyukur mempunyai ahli kumpulan seperti mereka.

Penulisan minggu 14 ini adalah merupakan penulisan refleksi yang terakhir bagi kursus ini. Pada penulisan kali ini akan saya rangkumkan pengalaman sepanjang saya mempelajari subjek GGGA 2123 Inovasi dan Teknologi Pengajaran dan Pembelajaran. Seperti yang pernah saya nukilkan dalam penulisan pertama sebelum ini iaitu berkaitan dengan pengalaman pertama menulis di blog sendiri, saya amat bersyukur kerana diberi peluang untuk mempelajari subjek GGGA 2123 Inovasi dan Teknologi Pengajaran dan Pembelajaran ini. Alhamdulillah, melalui subjek ini saya berjaya menguasai kemahiran penggunaan wordpress untuk menulis blog, pembinaan CV untuk persediaan ke alam pekerjaan dan juga projek multimedia berjaya dihasillkan dengan jayanya.

Untuk pengetahuan saudara saudari sekalian, projek multimedia yang telah dibina oleh kumpulan saya adalah pengajaran secara mediatif berkaitan dunia pengangkutan yang merangkumi pengenalan mengenai pengangkutan dan juga asas keselamatan jalan raya yang terdapat di Malaysia. Oleh kerana kumpulan kami terdiri daripada pelajar Program Pendidikan Khas, maka projek yang kami bina ini dihasilkan khas untuk mereka yang tergolong dalam golongan kurang upaya bagi memenuhi keperluan mereka. Selain itu, kami juga didedahkan dengan penggunaan teknologi AR berikutan lanjutan dari projek multimedia yang perlu kami hasilkan. Melalui penggunaan AR ini, pelajar akan lebih tertarik untuk mengikuti aktiviti pembelajaran berikutan grafik menarik yang dihasilkan seolah-olah objek tersebut timbul memberikan pengalaman yang baru kepada mereka.

Pembinaan pengajaran mediatif yang berkisarkan penggunaan teknologi ini dilihat amat penting lebih-lebih lagi buat kami yang merupakan bakal guru dalam mempelbagaikan kaedah pengajaran yang dapat meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran. Penggunaan medium multimedia di dalam dunia Pendidikan kini dilihat sangat relevan dan bertepatan dengan masa kini. Hal ini jelas dilihat semasa pandemik Covid-19 yang sedang melanda, teknologi maklumat dilihat sangat memainkan peranan yang penting dalam menggerakkan Pendidikan. Jika dilihat dahulunya medium pengajaran berkisarkan teknologi ini sering dipandang remeh dan dianggap tidak begitu relevan dalam dunia Pendidikan, namun setelah berlakunya perkara yang tidak diingini dan tidak dirancang, medium ini dilihat adalah merupakan satu medium yang sangat tepat digunakan dan memainkan peranan yang penting dalam memacu kemajuan Pendidikan sesebuah negara.

Daripada kursus ini juga, antara perkara yang saya pelajari adalah jika kita tidak mengetahui sesuatu perkara, sewajarnya untuk kita bergerak dan mencari solusi untuk memajukan diri dan bukan hanya menunggu di tempat yang sama untuk seseorang menawarkan diri menolong kita. Saya bawakan contoh, apabila pertama kali menggunakan perisian wordpress, pastinya banyak perkara yang menjadi perkara baru buat diri kita dan pastinya akan menyulitkan buat diri kita. Bukan semua ahli kelas yang mahir dalam perisian ini. Oleh itu, apakah solusi yang wajar diambil? Adakah hanya ingin menunggu rakan lain bertanyakan kepada pensyarah? Jika tiada yang bertanya apakah langkah yang perlu diambil? Oleh itu, antara perkara yang dapat dilakukan adalah dengan meneroka sendiri segala perkara baru yang terdapat dalam perisian tersebut selain bertanyakan kepada pensyarah. Hal ini kerana berdikari adalah merupakan formula terbaik untuk berjaya.

Semoga perkongsian saya pada kali ini dapat memberi manfaat kepada semua pembaca. Akhir kata sebelum saya mengundurkan diri, dengan rendah hati saya ingin memohon maaf sepanjang saya melakukan penulisan andai terdapat perkara yang mengguris hati para pembaca. Saya bukanlah penulis yang bagus, tetapi saya cuba belajar untuk sentiasa menyampaikan sesuatu yang sentiasa mampu memberi manfaat untuk semua orang. Saya akhiri dengan ucapan terima kasih dan Assalamualaikum…

Leave a comment

Website Powered by WordPress.com.

Up ↑

Design a site like this with WordPress.com
Get started